Tuesday, 11 July 2017

APA ITU PCOS

Sindrom polisistik ovari (PCOS): apa yang anda perlu tahu?



Apa itu sindrom polisistik ovari?

Adalah biasa bagi wanita mengalami polisistik ovari, yang bermaksud ovari mereka menghasilkan lebih banyak folikel daripada biasa setiap bulan.

Biasanya kira-kira lima folikel mula matang dalam setiap kitaran haid dan sekurang-kurangnya satu folikel yang mengandungi telur membebaskan telur matang semasa ovulasi. Tetapi mereka yang mengalami polisistik ovari, ovari mereka mula mematangkan sekurang-kurangnya dua kali ganda banyaknya folikel berbanding biasa, dan kebanyakan folikel ini membesar dan masak tetapi tidak membebaskan telur. 

Dianggarkan di antara 22 dan 33 peratus wanita mempunyai polisistik ovari. Bagi sesetengah wanita, polisistik ovari ini melarat menjadi sindrom polisistik ovari (PCOS). Ini bermakna, selain daripada polisistik ovari, mereka turut mengalami simptom-simptom lain. 

PCOS berlaku apabila sistem hormon menjadi tidak stabil, membuatkan ovulasi menjadi jarang atau tidak tetap, dan menyebabkan perubahan-perubahan lain dalam badan. Sindrom polisistik ovari dianggarkan menjejaskan di antara 5 dan 15 peratus wanita yang dalam umur subur, dan dikatakan lebih kerap berlaku kepada wanita berketurunan Asia.

Apakah yang menyebabkan PCOS?

Asas kepada masalah ini ialah penolakan hormon insulin, yang bermakna anda perlukan lebih banyak insulin daripada biasa untuk mengawal tahap gula dalam badan. Insulin tambahan ini menyebabkan ketidakseimbangan kepada hormon-hormon yang biasanya mengawal kitaran haid anda dan memastikannya berjalan dengan lancar. 

Terlalu banyak hormon luteinising (LH) dihaislkan berbanding hormon perangsang folikel (FSH), yang menyebabkan folikel-folikel pada ovari menghasilkan lebih banyak hormon testosteron (hormon lelaki) berbanding hormon wanita iaitu estrogen. Kelenjar adrenal juga mula meningkatkan penghasilkan testosteron.

Terlalu banyak testosteron menghalang ovulasi, di samping simptom-simptom lain yang berkaitan dengan sindrom ini. Estrogen masih lagi dihasilkan, tetapi oleh kerana folikel-folikel yang dihasilkan tidak mencapai tahap kematangan yang mencukupi sewaktu progesteron mula meningkat, wanita yang mengalami PCOS akan mendapati mereka kekurangan hormon progesteron.

Apakah simptom-simptom PCOS?

Ramai wanita yang mempunyai polysistik ovari mula mendapat haid yang tidak tetap atau tidak kerap dalam masa tiga atau empat tahun mereka mula dating haid. Kira-kira separuh daripada wanita yang mengalami keadaan ini juga mengalami peningkatan berat badan dan berbulu lebat pada tahap-tahap yang berbeza.

Jika anda mengalami polisistik ovari, anda mungkin mengalami yang berikut:

haid yang tidak tetap atau tidak datang haid;

darah yang keluar semasa haid sangat sedikit atau sangat banyak;

ketidakselesaan perut pada tahap ringan hingga pertengahan;

bulu lebat tumbuh pada muka, dada dan bahagian bawah abdomen;

jerawat.

Anda juga mungkin:

tidak subur

mempunyai berat badan berlebihan

Bagaimanakah PCOS didiagnos?

Doktor anda perlu mengesahkan tiada sebab-sebab lain bagi simptom-simptom yang anda tunjukkan, seperti masalah tiroid, sebelum PCOS boleh didiagnos. Doktor mendiagnos PCOS berdasarkan:

sejarah kesihatan anda;

ujian darah untuk mengukur tahap hormon;

imbasan ultrasound untuk mengesan polisistik ovari yang membengkak.

Bagaimanakah PCOS dirawat?

Doktor anda mungkin akan memberikan nasihat berkaitan gaya hidup, pengawalan berat badan dan senaman, dan akan mempreskripsikan rawatan berdasarkan berapa teruk simptom-simptom anda dan samada anda mahu mempunyai anak sendiri ataupun tidak.

Wanita yang tidak mahu hamil boleh menggunakan pil pencegah kehamilan atau ubat-ubatan lain untuk membetulkan ketidakseimbangan hormon. Rawatan hormon akan menjadikan kitaran haid anda lebih tetap dan mungkin mengurangkan penumbuhan bulu yang tidak normal serta jerawat.

Doktor anda juga mungkin mempreskripsikan krim yang dapat mengawal bulu yang berlebihan di bahagian muka, serta krim atau ubat untuk merawat jerawat.

Ubat yang digunakan dalam rawatan kesuburanseperti clomifene, tamoxifen dan gonadotrophins, boleh membantu wanita-wanita yang menghidap PCOS untuk hamil. 

Jika berat badan anda berlebihan, doktor akan menasihatkan anda mengubah gaya hidup sebelum mencuba ubat kesuburan. Sedikit pengurangan berat badan pun sudah cukup untuk membantu tahap insulin anda menghampiri tahap normal dan mengembalikan ovulasi sekiranya ia sudah terhenti. Pengurangan berat sebelum anda hamil juga boleh mengurangkan risiko anda mendapat kencing manis semasa hamil.

Pembedahan boleh membantu sesetengah wanita untuk hamil jika mereka tidak bertindak balas dengan baik terhadap ubat kesuburan. Pakar bedah menggunakan teknik yang dipanggil laparascopic ovarian drilling (LOD) untuk memusnahkan tisu-tisu pada ovari yang menghasilkan testosteron.

Kesannya biasanya adalah sementara, tetapi LOD boleh memperbaiki ketidakseimbangan hormon dan kitaran ovulasi untuk tempoh yang cukup bagi wanita itu hamil. Keberkesanan LOD sebagai kaedah rawatan kesuburan adalah sama dengan keberkesanan ubat jenis gonadotrophin, namun kelebihannya ialah ia tidak meningkatkan risiko kehamilan berganda. 

Ubat-ubat yang dipanggil insulin-sensitising drug(ISD) seperti metformin kini digunakan oleh pakar-pakar sebagai rawatan bagi sindrom polisistik ovari. Ramai penghidap PCOS yang pada awalnya tidak bertindak balas terhadap ubat kesuburan mula bertindak balas terhadapnya selepas rawatan dengan ISD, tetapi lebih banyak bukti diperlukan yang menunjukkan ISD ini berkesan sebelum rawatan ini boleh digunakan secara meluas. 

Metformin juga kadang kala digunakan oleh pakar-pakar sebagai rawatan bagi ketidaksuburan pada wanita dengan PCOS, walaupun bukti yang menunjukkan ianya benar-benar berkesan agak bercanggah dan ia mempunyai kesan sampingan yang tidak menyelesakan seperti loya dan muntah-muntah.

Apakah yang harus saya jangkakan daripada rawatan PCOS?

Clomifene biasanya adalah kaedah rawatan pertama yang diugnakan untuk merawat masalah kesuburan yang berkaitan dengan PCOS. Ia mempunyai rekod baik dalam mengembalikan ovulasi bagi wanita yang telah berhenti mengovulasi – 70 peratus daripada mereka mengovulasi semula. Kadar kehamilan ialah kira-kira 15 peratus, tetapi keberkesanannya bergantung kepada tempoh rawatan serta factor-faktor lain seperti samada anda mempunyai masalah berat badan ataupun tidak. 

Kadar penurunan berat yang sederhana bagi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan sudah cukup untuk meningkatkan keberkesanan clomifene. Anda akan dipantau menggunakan ultrasound untuk melihat samada anda bertindak balas terhadap ubat tersebut. Jika anda mengovulasi tetapi masih belum hamil selepas enam bulan menjalani rawatan dengan clomifene, anda akan ditawarkan inseminasi intrauterin (IUI) di samping clomifene.

Ubat-ubat kesuburan mempunyai risiko mendapat kehamilan berganda dan mempunyai kesan sampingan yang tidak menyelesakan, sementara LOD pula melibatkan pembedahan di bawah bius umum. Mencari rawatan yang terbaik untuk anda boleh jadi satu proses yang panjang dan rumit, jadi cuba beri sokongan kepada pasangan anda sebanyak mana yang boleh, sepanjang proses konsultasi dan rawatan. 

Jika kesuburan bukan satu masalah, keberkesanan rawatan bergantung kepada berapa teruk simptom-simptom anda. Rawatan hormon, contohnya, mungkin membantu menyelaraskan haid, mengurangkan masalah kulit dan penumbuhan bulu. Keberkesanannya tahan selama mana anda mengambil ubat tersebut.

Bagaimana saya melegakan simptom-simptom PCOS?

Kebanyakan wanita mendapati sindrom polisistik ovari menyebabkan ketidakselesaan perut yang ringan atau sederhana sahaja. Berikut adalah beberapa tip untuk melegakan kesakitan itu: 

letakkan sebotol air panas pada perut anda;

berendam dalam mandian suam;

pakai pakaian yang longgar;

gunakan pelega kesakitan yang boleh dibeli tanpa preskripsi.


Jika anda lebih suka untuk tidak mengambil hormon atau menggunakan krim, anda boleh cuba kaedah elektrolisis, waxing atau lain-lain kaedah menghilangkan bulu berlebihan di bahagian muka dan badan.

Bagaimana saya boleh menjaga diri sendiri?

Doktor anda akan memantau sebarang perubahan pada ovari atau dinding rahim anda yang disebabkan oleh pendarahan yang tidak tetap. Beliau juga mungkin akan membuat beberapa ujian darah untuk mengawasi perubahan hormon anda. 

Penting bagi anda menghadiri semua temu janji pemantauan ini, kerana penghidap PCOS berisiko menghidap masalah kesihatan jangka panjang seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, dan/atau masalah jantung. Risiko mendapat penyakit-penyakit ini boleh dikurangkan dengan mengurangkan berat badan sekiranya anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, dan dengan mengamalkan diet yang sihat serta bersenam dengan kerap.

Apa yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan PCOS?

Anda tidak boleh mengelakkan PCOS, kerana kemungkinan besar ianya mempunyai faktor keturunan. Diagnosis dan rawatan awal ialah cara terbaik untuk mengawal simptom-simptom PCOS. Jika haid anda tidak tetap atau tiada langsung, jumpalah doktor dan gunakan apa sahaja rawatan perubatan yang beliau cadangkan untuk menyelaraskan kitaran haid anda. 

Sebagai tambahan, beritahu doktor and ajika anda mempunyai simptom-simptom lain yang tidak dijangka. Adalah jelas bahawa beerat badan ialah pencetus utama, dan wanita yang menghidap PCOS dan mempunyai berat badan berlebihan boleh menghilangkan simptom-simptom mereka melalui pengurangan berat badan.

Kembali ke entry sebelum..klik SINI


Sumber : babycenter.com 

No comments:

Post a Comment